Apa itu Pelombong Bitcoin (Miner)?

Mari kita sentuh lebih lanjut tentang aktiviti perlombongan (mining) oleh pelombong bitcoin (miner). Dalam artikel sebelum ini bertajuk “Apa Itu Bitcoin?” saya dah menceritakan serba sedikit tentang bitcoin.

Miner adalah terdiri daripada individu/syarikat/badan sukarela yang menyumbangkan kuasa komputer mereka bagi memproses transaksi-transaksi bitcoin. Komputer mereka dipasang perisian (software) mining bitcoin. Software ini akan melaksana proses kira-kira kewangan ke dalam Block Chain. Ini bersesuaian dengan objektif bitcoin, yang mana ia ingin mengganti atau mengalihkan peranan dan kuasa bank-bank supaya kembali kepada masyarakat. Sekiranya kerja kira-kira kewangan, merekod lejar (ledger), memproses perpindahan wang samada dalam mahupun luar negara, dapat dilakukan oleh masyarakat sendiri, bermakna kebergantungan masyarakat dan ekonomi kepada bank dapat dikurangkan. Manfaatnya ada banyak, contohnya proses yang lebih jimat, masa yang lebih pantas dan selamat, lebih mesra internet, dan yang paling utama ialah membasmi situasi kuasa mutlak oleh pihak-pihak kapitalis dominan.

Sesiapa sahaja boleh menjadi miner samada untuk tujuan kajian, atas dasar minat, mahupun untuk menjana pendapatan. Saya sendiri pernah mencuba atas dasar suka-suka dan ia memberi banyak ilmu baru yang membuka mata. Untuk tujuan menjana pendapatan, miner boleh mendapat pendapatan daripada dua sumber.

Pertama melalui komisen yang perlu dibayar oleh individu yang membuat transaksi. Contohnya Abu hantar bitcoin kepada Ali, maka Abu perlu bayar sedikit komisen kepada Miner untuk yuran pemprosesan. Yuran ini amat minimal buat masa ini. Sekitar 0.1% daripada nilai transaksi. Jauh berbeza dengan kadar Interbank Fund Transfer apakan lagi Inter Country Fund Transfer. Selesai sahaja proses transaksi, miner yang berjaya memproses dan memasukkan transaksi ke dalam lejar Block Chain akan mendapat komisen secara automatik daripada Abu.

Sumber pendapatan kedua bagi Miner adalah melalui ganjaran/bonus setiap kali berjaya menjadi pihak pertama menyelesaikan Blok. Sejumlah transaksi dikumpulkan oleh Miner/Node dan akan dimasukkan ke dalam Blok (sebab itu konsep ni dinamakan Block Chain). Dari situ, Node (anggaran ada 5000 nodes di dunia ini) dan kesemua jentera Miner (ada ratusan ribu miners di muka bumi) akan cuba berlumba menyelesaikan persoalan matematik yang maha rumit dan sesiapa yang pertama berjaya menyelesaikannya akan mendapat bonus iaitu dalam bentuk bitcoin yang baru tercipta. Bitcoin ini ibarat ketulan emas yang pertama kali dijumpai, dan Node/Miner tersebut akan menjadi pemilik yang pertama. Penyelesaian matematik amat kompleks untuk dibincangkan di dalam artikel ini, cukup sekadar kita faham bahawa semua itu dilaksanakan secara automatik oleh perisian bitcoin yang dipasang di komputer-komputer miner. Pada masa ini, setiap Blok yang diselesaikan akan membawa ganjaran bonus sebanyak 12.50 BTC (bersamaan RM58,000). Bayangkan, contohnya Abu menghantar bitcoin bernilai RM100 kepada Ali. Miner dapat komisen RM0.10 daripada Abu, tetapi mereka juga dapat RM58,000 hasil perlombongan sewaktu memproses transaksi Abu tersebut. Banyak kan? Tapi tidaklah semudah itu sebenarnya. Boleh saya ceritakan lanjut dalam artikel yang lain nanti. Kadar ganjaran ini akan berkurangan dari masa ke semasa, sehinggalah pada tahun 2140, tiada ganjaran lagi akan diberi dan tiada bitcoin baru akan muncul lagi di dunia ini.

Pada tahun 2009, pada permulaan Bitcoin ini dilancarkan, miner sulung adalah Satoshi Nakamoto (selaku pencipta bitcoin) yang memproses blok pertama. Blok pertama ini dinamakan Blok Genesis, yang memberi ganjaran sebanyak 50 BTC kepada Satoshi Nakamoto. Sejak dari itu, transaksi-transaksi pun bermula dan ganjaran 50 BTC mula diterima oleh ramai miners terawal. Setiap ganjaran digunakan oleh mereka untuk membeli barang, menjadikan ia transaksi sebenar dan memerlukan pemprosesan blok yang mencetuskan lagi ganjaran-ganjaran melalui penciptaan BTC yang baru. Pada waktu itu, BTC belum mempunyai nilai di pasaran. Tiada sapa mahu beli bitcoin. Jadi pemilikan hanyalah di dalam kelompok miners yang kebanyakannya hanya suka-suka. Maka mereka hanya bermain-main menghantar bitcoin sesama sendiri, bergurau dan juga sekadar suka-suka mengkaji teknologi ini dengan lebih mendalam. Hinggakan pada waktu itu ada yang membeli Pizza dengan membayar 10,000 BTC. Pada hari ini nilai 10,000 BTC adalah RM 47 juta!

Berbalik kepada perlombongan, bitcoin ini disamakan seolah-olah komoditi. Ia dicipta supaya akan habis. Ibarat emas, jika dilombong di bumi ini, sampai satu masa ia akan habis. Jika dah habis dari dalam tanah, pembeli emas hanya boleh membeli emas-emas yang tersedia ada di pasaran tanpa boleh mencari lagi emas secara perlombongan. Begitu juga bitcoin. Ciptaan BTC baru sebagai ganjaran kepada miner akan berkurangan dari masa ke semasa. Protokol bitcoin akan memastikan bahawa jumlah akhir bitcoin akan terhad kepada 21 juta BTC sahaja di dunia ini. Caranya ialah dengan memotong ganjaran kepada separuh bagi setiap 4 tahun.

  • Tahun 2009 – 2011 – Ganjaran 50 BTC
  • Tahun 2011 – 2016 – Ganjaran 25 BTC
  • Tahun 2016 – 2020 – Ganjaran 12.50 BTC
  • Tahun 2021 – ?? – Ganjaran 6.25 BTC
  • Tahun-tahun seterusnya – dikurangkan separuh lagi hingga menjadi 0.

Pada masa ini, sekitar 16 juta bitcoin telah dilombong bermakna ada baki 5 juta bitcoin lagi masih ada dalam tanah. Dijangka kesemua 21 juta bitcoin akan selesai dilombong pada tahun 2140. Disebabkan bitcoin semakin susah untuk dilombong, atau tidak lagi menjanjikan ganjaran yang berbaloi kepada miner, bermakna miner perlu beralih kepada menjana pendapatan melalui komisen pula. Jadi, untuk tahun-tahun seterusnya komisen akan dijangka meningkat bagi menampung kos miner, namun dijangka tetap lebih murah berbanding dengan komisen yang kini dikenakan oleh bank, pengurup wang (money changer) dan juga perkhidmatan pembayaran internet seperti PayPal, Ipay88 dan lain-lain.

Adakah kita perlu menjadi Miner untuk terlibat dalam pasaran Bitcoin?

Jawapannya TIDAK. Ilmu tentang miner diperlukan supaya kita faham konsep ekosistem bitcoin. Menjadi miner adalah semata secara sukarela. Sama juga, kita tak wajib kerja di bank untuk terlibat dalam urusniaga jual beli menggunakan ringgit. Biarkan saja bank uruskan perihal kira-kira kewangan dan akaun, kita hanya menggunakan duit untuk kehidupan harian. Tapi, jika dalam dunia bitcoin, kita boleh jadi bank/pelombong jika kita mahu. Pilihan di tangan kita sepenuhnya.

Ada cara lain untuk mendapatkan bitcoin tanpa perlu menjadi miner?

Ini saya akan sentuh sedikit di dalam artikel seterusnya di dalam topik Apa itu dompet bitcoin (wallet bitcoin)?.

Tonton klip youtube di bawah untuk melihat aktiviti perlombongan yang dijalankan di negara China.

Comments

comments

2 thoughts on “Apa itu Pelombong Bitcoin (Miner)?”

Comments are closed.