Apa itu dompet bitcoin (wallet bitcoin)?

Dalam artikel-artikel sebelum ini, saya dah menyentuh tentang Apa itu Bitcoin dan Apa itu pelombong Bitcoin (Miner)

Setelah memahami serba sedikit tentang bitcoin, saya jangka akan timbul persoalan bagaimana caranya jika kita ingin memiliki bitcoin.

Terdapat beberapa cara untuk kita dapatkan bitcoin.

  • Melombong bitcoin.
  • Membeli bitcoin dari individu lain atau melalui pasaran.
  • Menerima bayaran berupa bitcoin bagi perkhidmatan atau produk yang kita jual.
  • Melakukan kerja-kerja di internet yang memberi bayaran bitcoin. (boleh rujuk artikel Program Bitcoin Faucet)

Tapi, sebelum menerima sebarang bitcoin, perkara penting yang perlu kita lakukan ialah menyediakan dompet (bitcoin wallet). Mari kita fahami dulu apa itu bitcoin wallet. Ini topik yang sangat penting kerana jika kita tidak faham konsep wallet, ada kemungkinan dana kita boleh dicuri atau berisiko hilang jika kemalangan atau bitcoin kita lesap akibat wallet kita dipegang oleh pemegang amanah yang gagal melaksanakan tanggungjawab.

Jadi, apa itu bitcoin wallet?

Wallet ialah dompet. Mudah. Tak tipu, itulah jawapannya.

Semua bitcoin disimpan di dalam wallet. Cuma di dalam dunia bitcoin, semua lokasi penyimpanan dipanggil wallet, tak kira la samada dalam komputer, dalam handphone, mahupun bitcoin kita yang di dalam pegangan orang lain contohnya pada pemegang amanah atau di exchange. Wallet adalah perisian yang menyimpan maklumat kewangan bitcoin kita, serta kunci sulit yang membolehkan kita membuat bayaran atau pindahan keluar duit daripada wallet tersebut.

Setiap orang boleh ada seberapa banyak wallet yang mereka mahu. Disebabkan ia adalah software, jadi kita boleh install saja wallet di komputer, telefon pintar mahupun peralatan lain satu ketika nanti. Dalam satu komputer nak ada 10 wallet pun boleh. Anggapkan saja dompet kita satu wallet, akaun maybank kita satu wallet, akaun cimb kita satu wallet, tabung buluh belakang almari kita satu wallet, peti besi harta (ala-ala Haji Bakhil, Labu Labi) pun adalah satu wallet. Kesemua wallet adalah milik kita, kita boleh pindahkan dana dari satu kepada yang lain melalui transaksi, mengikut kesukaan dan kemahuan kita. Yang membezakan wallet antara satu sama lain adalah bagaimana kita menguruskan semuanya.

Wallet dana runcit.

Ada wallet yang kita nak guna selalu untuk urusan harian, dipasang di komputer yang kurang selamat atau di telefon pintar. Jadi kita letak la dana yang sederhana banyak mengikut keperluan. Macam dompet yang kita bawa hari-hari, tak boleh letak banyak sangat, kalau hilang naya. Letak 1 BTC dalam wallet di handphone, kalau phone hilang dan dana pencuri sempat jumpa, maka mengikut kadar hari ni, hilanglah RM4,700 kita. Nangis kita bukan sebab hilang handphone, tapi sebab hilang bitcoin. Jadi ikutlah rutin kebiasaan, kalau dalam dompet biasanya kita simpan RM50 untuk kegunaan harian, di wallet mudah alih kita simpan la sekadar 0.01BTC (lebih kurang RM50 juga).

Wallet dana besar (simpanan/pelaburan).

Dana bitcoin yang besar, untuk pelaburan jangka panjang misalnya boleh diletakkan di didalam wallet di komputer lain, yang kita yakini selamat dan tidak dapat diakses oleh orang lain. Paling cantik kalau komputer tu offline terus, tanpa ada talian internet. Hampir pasti selamat. Ini dipanggil “Cold Storage”. Selain daripada offline computer, boleh juga guna wallet yang dilindungi oleh usb dongle (ada dijual, ciri keselamatan yang tinggi), atau paling extreme sekali, simpan pakai kertas je. Tulis secara manual kata kunci atau formula matematik di dalam buku tulis dan sorok.

Wallet yang diuruskan oleh pihak ketiga.

Ada juga wallet bersifat akses umum yang dibuka untuk kita oleh pihak ketiga untuk kita, contohnya apabila kita berurusniaga di dalam pasaran bitcoin. Perlu diingat, wallet jenis ini berisiko tinggi. Apabila kita terima saja dana bitcoin ke dalam wallet sebegini, apa yang perlu kita buat adalah memindahkannya ke wallet kita yang lebih selamat. Perkara ini yang banyak orang tidak faham. Akibatnya apabila dana dicuri atau badan melaksana pasaran bungkus atau ditutup akibat undang-undang, dana kita yang ada di dalam wallet tersebut turut lesap. Anggapkan wallet sebegini adalah akaun bank. Cuma kalau bank boleh la kita percaya sebab kita dilindungi undang-undang. Kalau pihak ketiga dalam dunia bitcoin, tiada perlindungan undang-undang yang boleh kita guna pakai, jadi cepat-cepat transfer ke wallet peribadi kita.

Tak simpan bitcoin di bank?

Konsep keselamatan dana bitcoin ni agak terbalik berbanding cara biasa kita. Kita diajar dari kecil, untuk pastikan duit selamat, simpan di bank. Bermakna kita serahkan tanggungjawab menjaga harta kita kepada pihak ketiga. Berbeza pula dengan ekonomi bitcoin. Bitcoin dicipta untuk menyahkan dominasi pihak ketiga. Jangan percaya sapa-sapa. Harta kita, kita simpan sendiri, jangan kasi orang lain pegang. Begitulah ceritanya…

Software wallet apa yang kita boleh guna?

Pilihan ada banyak boleh rujuk senarai di https://bitcoin.org/en/choose-your-wallet. Secara peribadi saya guna Electrum (https://electrum.org) atas beberapa sebab antaranya:-

  • Ia perisian Sumber Terbuka (Open Source). Jadi kita dapat tengok code dan bagaimana aplikasi ini dibangunkan. Telus dan terbuka.
  • Kita tak perlu ingat private key, hanya perlu salin 12 perkataan frasa rahsia (secret phrase). Jadi jika komputer rosak misalnya, kita boleh recover wallet dengan menggunakan 12 perkataan frasa rahsia tersebut.
  • Ia boleh digunakan untuk “cold storage”. Untuk simpan dana jangka panjang.
  • Banyak lagi…

Ada banyak lagi software wallet lain. Tepuk dada tanya selera.

Benarkah bitcoin kita ada dalam wallet?

Sebenarnya, secara teknikal TIDAK. Wallet tak simpan duit. Wallet hanya simpan indeks, alamat transaksi (juga dipanggil kunci awam @ public key), dan juga kunci rahsia (dipanggil private key) kita untuk membolehkan kita memindahkan dana keluar dari wallet tersebut. Kesemua dana bitcoin sebenarnya terletak di dalam lejar terbuka di Block Chain yang disalin oleh beribu-ribu nodes/miners. Seperti yang saya sentuh dalam artikel sebelum ini, Block Chain adalah lejar terbuka yang menyenaraikan kesemua transaksi dari mula terciptanya bitcoin sehingga sekarang. Sehingga kini, saiz lejer tersebut sudah mencecah 120 Gigabyte. Bayangkan dah berapa bayak transaksi dah berlangsung.

Di dalam lejar terebut ada maklumat penuh transaksi dari asal bitcoin dilombong, dipindahkan kepada pengguna, dijual, dibeli dan kesemua yang berlaku kepada bitcoin-bitcoin tersebut. Bila nak tengok baki, wallet bitcoin kita akan membuat satu bacaan kepada lejar Block Chain dan mencari semua transaksi yang berkaitan dengannya sahaja dan membuat kira-kira baki berdasarkan semua milikan bitcoin yang belum dibelanjakan.

Apabila transaksi nak dilakukan, wallet tersebut akan membekalkan kunci rahsia bagi mengesahkan bahawa transaksi itu sah dilakukan oleh pemilik bitcoin. Teknik ini dinamakan kriptografi (cryptography). Kunci rahsia ini amat rumit dan mustahil untuk digodam. Jadi, keselamatan dana kita bergantung sepenuhnya kepada bagaimana selamatnya kita menyimpan kunci rahsia tersebut. Kalau kita bagi kunci rahsia kepada orang lain, alamatnya habis. Ibarat seperti bagi kad ATM dan PIN kepada orang lain.

Jika semua transaksi disimpan di lejar terbuka Block Chain, orang boleh nampak la kekayaan seseorang?

YA dan TIDAK.

Ya, dalam erti kata semua transaksi boleh dilihat di dalam Block Chain. Penganalisis yang mahir boleh mencari jumlah kekayaan seseorang tanpa perlu mengakses wallet orang tersebut.

Tidak, dalam erti kata yang dapat dilihat adalah transaksi, jumlah, dan indeks. Tanpa sebarang maklumat siapa pemilik itu. Jika kita tak dedahkan transaksi dan indeks itu milik kita, tiada sebab orang akan tahu kitalah pemilik dana yang dianalisa.

Namun, perlu diingat, exchange tempatan (contohnya XBitAsia) memerlukan salinan kad pengenalan ketika kita membuka akaun untuk jual beli pasaran bitcoin. Ini adalahlah syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Tujuannya untuk mengelakkan belakunya Pengubahan Wang Haram (Money Laundering). Jadi, jika kita bertransaksi menggunakan exchange tempatan, secara teorinya, kerajaan akan tahu jumlah kekayaan kita. Bagi orang yang berniat serong, mereka guna cara lain tanpa perlu berharap kepada exchange sebegini. Bagi kita, tak sepatutnya menjadi masalah.

Berikut adalah video tutorial untuk install Electrum Wallet di komputer. Saya sarankan agar anda catit 12 perkataan frasa rahsia (secret phrase) sewaktu proses installasi di atas kertas dan simpan dengan selamat.

Comments

comments

2 thoughts on “Apa itu dompet bitcoin (wallet bitcoin)?”

Comments are closed.