Apa itu Bitcoin?

Sambungan dari artikel saya sebelum ini bertajuk Saya dan Bitcoin.

Sebenarnya penerangan tentang bitcoin ini dah banyak ditulis di internet. Cuma mungkin kekurangan versi Bahasa Melayu (BM) membuatkan ramai rakan yang saya kenal kurang memahami apa itu Bitcoin. Ada la juga beberapa artikel blog dalam BM yang saya jumpa antaranya:-

http://www.pakdi.net/apa-itu-bitcoin/ – Nukilan Pakdi, blogger kewangan tempatan.
http://bitcoinmalaysia.com/2013/01/19/apa-itu-bitcoin-dan-beli-bitcoin-di-malaysia/

Boleh rujuk link di atas untuk bacaan asas tentang Bitcoin. Saya cuba la juga untuk terangkan versi nukilan saya sendiri juga di sini. Saya buat dalam BM juga agar mudah difahami oleh ramai pembaca.

Secara asas, Bitcoin adalah Duit Maya. Ia duit yang berlegar di internet, tanpa ada bank yang mencetak duitnya, juga tanpa kerajaan yang mengawal kadarnya. Jika kita ada bitcoin, bermakna kita boleh:-

  • membeli barang di kedai atau portal yang menerima bitcoin sebagai bayaran.
  • hantarkan kepada orang lain ke mana saja di dunia ini, dengan pantas dan murah.
  • derma kepada mana-mana pihak tanpa perlu proses yang rumit.
  • jual kembali dan dapatkan duit Ringgit.
  • simpan beku sebagai pelaburan jangka panjang, mengharapkan nilai akan terus meningkat.

Buat masa sekarang (19-Feb-2017), satu unit Bitcoin (juga dipanggil 1 BTC) adalah bernilai sekitar RM4,700.00. Dah mahal macam emas pula. Pada 2012 dulu harganya baru la RM50.00. Semakin ramai penduduk dunia ini mula mengenali dan memahami Bitcoin, maka semakin ramai akan menggunakannya dalam transaksi, seterusnya permintaan semakin naik dan nilai pun turut sama meningkat. Itu lumrah pasaran. Dan bitcoin boleh dikatakan masih sangat awal dan belum dikenali sangat oleh masyarakat dunia. Maka ruang peningkatan itu sangat-sangat meluas.

Tapi kita tolak tepi dulu penceritaan Bitcoin dari sudut nilai dan pelaburan. Sebaiknya, untuk peringkat awal, saya ceritakan dulu Bitcoin ini dari sudut hasrat penciptaannya, objektif yang cuba dicapai dan beberapa aspek teknikal tentang Duit Maya ini.

Siapa cipta bitcoin dan siapa kawal bitcoin?

Kemunculan pertama bitcoin adalah pada tahun 2008 apabila satu Dokumen Kertas Putih (Whitepaper) bertajuk “Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System” oleh penulis bernama Satoshi Nakamoto diketengahkan kepada komuniti komputer dan seterusnya menjadi satu projek pembangunan Sumber Terbuka (Open Source) pada 2009 (laman web di https://bitcoincore.org/). Kertas Putih tersebut mencadangkan satu konsep Duit Maya menggunakan Distributed Ledger yang dinamakan BlockChain. Sifat blockchain ialah memastikan data kewangan adalah telus dan terbuka, tidak boleh diubah atau digodam, boleh diuruskan oleh sesiapa sahaja (dipanggil Pelombong @ Miner) tanpa ada badan khas yang mengawal atau menggubal maklumat, dan juga setiap Pangkalan mendapat salinan penuh keseluruhan transaksi kewangan bagi memastikan tiada Single Point of Failure.

Siapa sahaja boleh jadi Miner. Kalau kita nak jadi miner pun boleh. Ada komputer, download software miner, lancarkan, maka kita secara rasminya sudah menjadi miner. Dianggarkan terdapat ratusan ribu miner yang ada sekarang dan sedang bertugas (komputer mereka ye, bukan orang) untuk menjalankan kerja-kerja transaksi bitcoin. Kesemua miner berhubung dengan pangkalan (dipanggil Node). Di node pula tersimpan keseluruhan data transaksi. Dianggarkan ada 5,000 Nodes yang sesama mereka menyalin data dan juga memuktamadkan kerja-kerja miners yang berhubung dengan mereka. Dengan adanya jumlah Nodes yang besar, tidak akan wujud risiko dimana sistem kewangan ini akan runtuh kerana jika ada satu Node terputus, ada beribu yang lain akan mengganti. Malah Nodes baru akan muncul dari masa ke semasa, di merata dunia.

Dengan adanya miner dan nodes yang menjalankan kerja, maka tidak perlu ada badan khas seperti Bank Komersil untuk menguruskan transaksi dan juga Bank Pusat/Bank Negara yang memantau dan mengawal sebarang transaksi. Kesemuanya dilakukan oleh sukarelawan. Manfaat menjadi Miner atau Nodes ialah, anda akan mendapat bayaran/ganjaran bagi setiap transaksi yang diproses.

Jadi menjawab persoalan siapa yang mengawal bitcoin, pada saya adalah Miners, Nodes serta Pembangun Perisian Bitcoin itu sendiri. Namun takkan wujud situasi kuasa mutlak kerana, sesiapa saja boleh jadi Miner dan Node. Malah perisian Bitcoin ini sendiri adalah bersifat Sumber Terbuka, dimana Pembangun dan Perisian boleh diganti oleh pihak lain jika situasi memerlukan.

Tiada individu dan Badan mutlak.. juga tiada kuasa mutlak.

Artikel seterusnya saya akan sentuh tentang aktiviti Perlombongan oleh Miner. Boleh tonton klip youtube di bawah untuk memahami dengan lebih lanjut tentang Bitcoin.

Juga sila rujuk penerangan tentang Denominasi Matawang Bitcoin (BTC, mBTC, uBTC & Satoshi).

Comments

comments

3 thoughts on “Apa itu Bitcoin?”

Comments are closed.