Saya dan Bitcoin

Pertama kali saya dengar tentang Bitcoin adalah sekitar 2012 sewaktu bersembang sesama rakan IT di kalangan Komuniti Sumber Terbuka (Open Source). Saya ada juga baca serba sedikit tentang Bitcoin pada masa itu, tapi tak berapa ambil berat sangat sebab tak berapa pasti hala tuju mahupun tahap kelansungan Bitcoin ini. Sekitar 2015 dan 2016 maklumat tentang Bitcoin semakin berkembang tapi minat untuk mengkaji lanjut masih belum tiba. Namun pada awal 2017, saya mula terpanggil untuk mendalami apa itu Bitcoin. Puncanya ada dua.

Pertamanya, sebab kenaikan mendadak harga pasaran Bitcoin pada hujung Disember 2016 hingga awal Januari 2017. Antara punca yang diperkatakan ramai adalah kemenangan Donald Trump sebagai presiden USA. Timbul pula minat untuk kaji adakah Bitcoin medium pelaburan yang baik, sebab bila tengok graf kenaikan pasaran, nampak menarik.

Kedua, pada Januari lalu, saya diminta oleh ayah untuk memindahkan sejumlah wang kepada adiknya yang tinggal di Singapura. Wang tu adalah hasil pusaka, jumlahnya kecil, bila convert ke Dolar Singapura ada lah dalam SGD100 sahaja. Tapi proses nak buat TT/Wire punyalah susah. Kena dapatkan Salinan IC mereka, alamat dll. Sebabkan wang pusaka, tetap perlu transfer juga sebab amanah. Bila semua dokumen dah dikumpul, kena pulak nak beratur di bank. Itu belum cerita lagi susut nilai akibat kadar pertukaran. Jadi waktu tu terlintas juga, inilah fungsi Bitcoin. Jika masyarakat dunia dah menerima Bitcoin, masalah seperti ini akan dapat diselesaikan. Duit dapat dipindahkan kemana-mana sahaja di dunia, tanpa proses yang meletihkan, dengan kadar komisen yang berpatutan.

Jadi, sejak pada itu, saya mula mengkaji lanjut tentang Bitcoin. Alang-alang saya ada satu blog Ridinglinux yang sunyi sepi ini, bolehlah saya manfaatkan untuk berkongsi apa yang saya faham tentang Bitcoin. Harapnya ia mampu membantu meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat untuk bersedia menerima perubahan besar kepada sektor dan struktur kewangan dunia ini. Saya juga harap agar sekiranya Bitcoin menjadi mainstream satu ketika nanti, biarlah rakyat Malaysia antara yang terawal (jika tidak terlewat) untuk menjadi penguasa pemilik kapital berharga ini.

Ok, cukup sudah mukadimah. Artikel seterusnya saya akan sentuh tentang “Apa itu Bitcoin”.